Monday, February 14, 2011

Maulid Buat Rasullullah SAW Kekasih Allah....


FAEDAH MAULID
Telah berkata Ibnul Jauzi bahwa satu daripada perkara-perkara yang telah mujarrab ialah bahwa meraikan atau merayakan Maulid Nabi s.a.w. itu akan mendatangkan keamanan yang penuh pada sepanjang-panjang tahun itu di tempat yang diadakan keramaian Maulid itu.

Sanya seorang raja yang bernama Abu Sa'id AI Mudzaffar telah mempunyai sebuah kota bernama Irbil yang jauhnya dua batu daripada bandar AI Musul, adalah seorang raja yang bijaksana, berani, gagah, pintar, alim dan adil, la telah berlebih-lebihan pada tentang meraikan dan merayakan Maulid Nabi s.a.w. dan telah mengeluarkan belanja tiap-tiap tahun untuk yang demikian itu sebanyak
300,000 dinar. Dan perbuatannya itu telah dipersetujui oleh ulama'-ulama' dan orang-orang soleh keseluruhannya.

Dan di dalam setengah-tengah perayaan Maulid yang diadakan oleh raja itu maka setengah-setengah orang telah menghitung di dalam jamuannya ada 5,000 ekor kambing panggang dan 10,000 ekor ayam dan 100,000 mangkok dan 300,000 pinggan besar yang mengandungi gula-gula dan manisan-manisan yang berbagai rupa dan rasa.

Dan pula ia telah menyediakan percuma satu rumah besar untuk sesiapa saja yang datang daripada mana-mana pihak dan arah yang tidak mempunyai tempat tinggal. Dan raja itu telah membelanjakan wang untuk rumah itu tiap-tiap tahun 100,000 dinar, padahal baju raja itu sendiri hanya daripada kain kapas yang keras dan pula tidak lebih daripada lima helai. Isterinya pernah menegurnya tentang hal
pakaiannya itu, tetapi ia pernah menjawab: "Aku memakai pakaian-pakaian yang demikian itu lebih baik daripada aku memakai pakaian-pakaian yang mahal dengan tidak mengambil berat terhadap orang faqir dan miskin."

PERMULAAN PERAYAAN MAULID
Kata Syeikh As Sakhawi bahwa perayaan Maulid itu mula-mula telah terjadi selepas kurun yang ketiga. Kemudian maka berkekalanlah orang-orang Islam di lain-lain negeri dan bandar yang besar meraikan Maulid itu. Dan mereka telah bersedekah pada malamnya dengan berbagai-bagai sedekah dan mengambil berat tentang membaca Maulid s.a.w. yang mulia itu dan telah nyatalah daripada berkatnya itu bahwa mereka telah mendapat kelebihan-kelebihan yang banyak.




HUKUM MERAYAKAN MAULID
Di dalam fatwa-fatwa Al Hafiz As Sayuti rahimah Ullah, di dalam bab "walimah" (memberi jamuan) bahwa ia telah ditanya tentang merayakan Maulid Nabi s.a.w. di dalam bulan Rabi'ul Awwal, apa hukumnya daripada syara'? Dan adakah didapati pahala oleh orang yang melakukannya atau tidak? Dijawab oleh As Sayuti, "Pada pendapatku bahwa cara merayakan Maulid Nabi s.a.w. itu ialah orang-orang berkumpul beramai-ramai dan membaca sedikit daripada ayat Quran dan menceritakan
kisah-kisah berkenaan Maulid s.a.w. perkara-perkara yang luar biasa (mu'jizat) yang terjadi pada masa Nabi s.a.w dizahirkan dan kemudian mengeluarkan makanan untuk dimakan oleh orang ramai tadi dan selepas itu mereka pun bersurailah dengan tidak mengerjakan apa-apa lain daripada yang tersebut itu."

BID'AH HASANAH

Telah berkata Imam Abu Syamah, guru Syeikh An Nawawi, "Satu daripada perkara-perkara yang dicipta dan diadakan pada zaman kita ialah perkara yang dilakukan tiap-tiap tahun pada hari asalnya yang dizahirkan Nabi s.a.w. (yaitu dua belas Rabi'ul Awwal) seperti bersedekah dan mengerjakan lain-lain kebajikan dan menyatakan kesukaan serta menghiaskan diri dan tempat kediaman karena yang demikian itu selain daripada membuat baik kepada orang-orang faqir, maka ia juga menandakan cinta kepada Nabi s.a.w. dan membesarkan dia di dalam hati orang yang menjalankan perayaan Maulid itu, sebagai syukur kepada Allah Ta'ala karena la telah mengutus Rasulullah sebagai satu rahmat kepada manusia sekalian.

MEMBESARKAN NABI S.A.W.
Telah berkata guru bagi guru kami Sidi Ahmad bin Zaini Dahlan rahima Ullah, "Telah menjadi adat bagi orang bahwa apabila mereka mendengar orang yang membaca Maulid itu menyebut pada arah: "Nabi s.a.w. dizahirkanlah daripada ibunya", maka mereka pun bangun berdiri sebagai memuliakan dan membesarkan dia s.a.w., maka bangun berdiri itu memanglah baik, karena yang demikian itu ada pengertian membesarkan Nabi s.a.w. Sesungguhnya banyak ulama' yang menjadi ikutan oleh
orang ramai telah membuat seperti itu."

Kata AI Halbi di dalam kitabnya 'As Sirah': "Sesungguhnya telah diceritakan oleh setengah-setengah ulama' bahwa pada suatu masa di zaman Imam As Subki, ramai ulama' telah berkumpul di sisinya, lalu salah se daripada mereka telah melagu-lagukan satu nasyid (yaitu syair penggalak) dikarang oleh As Sarsari untuk memuji-muji Nabi s.a.w., maka pada ketika itu bangunlah Imam As Subki
beserta semua mereka yang ada di majlis termasuk qadhi-qadhi dan orang-orang besar, lalu terjadilah mesra yang besar di dalam majlis itu. Sanya, merayakan Maulid Nabi s.a.w. dengan orang-orang berkumpul ramai untuknya ialah satu perkara yang baik (mustahsan).

HADITS NABI S.A.W.
Telah di riwayatkan satu hadith Nabi s.a.w. seperti berikut: Artinya: "Barangsiapa membesarkan hari kelahiranku niscaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan satu dirham untuk Maulidku maka seolah-olah ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah."

Dan telah berkata Saiyidina Abu Bakar As Siddiq radhi Allahu 'anhu: "Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam Syurga."

Dan telah berkata Saiyidina Umar radhi Allahu 'anhu: "'Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia menghidupkan agama Islam."

Dan telah berkata pula Saiyidina Utsman radhi Allahu 'anhu: "Barangsiapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. maka seolah-olah ia mati syahid didalam peperangan Badar dan Hunain."

Dan telah berkata Saiyidina Ali karamallahu wajhahu: "Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman."

Dan telah berkata Imam Syafi'i rahimah Ullah: "Barangsiapa mengumpulkan orang-orang Islam untuk menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan membaca Maulid itu dan mengadakan syarahan-syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat lain-lain kebajikan, niscaya Allah Ta'ala akan membangkitkan mereka di hari kiamat bersama dengan wali-wali, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang saleh dan ia akan berada di dalam Syurga yang penuh dengan
nikmat."


PERKATAAN-PERKATAAN AULIA'
Telah berkata Al Hasan AI Basri, (muga-muga Allah Ta'ala memuliakan rohnya): "Aku ingin kalaulah aku mempunyai emas sebanyak gunung Uhud, niscaya aku akan membelanjakannya untuk membaca Maulid Rasulullah s. a. w."

Dan telah berkata AI Junaid AI Baghdadi rahimah Ullah: "Barangsiapa hadir pada majlis Maulid Nabi s.a.w. dan membesarkan keadaan majlis itu maka sesungguhnya ia telah menang dengan iman."

Dan telah berkata Ma'ruf Al Kukhi (muga-muga Allah memuliakan rohnya): "Barangsiapa menyediakan makanan untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. dan mengumpulkan orang-orang Islam serta menyalakan lampu dan memakai pakaian-pakaian yang baru den berwangi-wangi serta bercantek dengan tujuan membesarkan Maulidnya s.a.w. maka Allah Ta'ala akan ngumpulkan dia di padang Mahsyar di hari kiamat kelak bersama dengan kelompok-kelompok yang pertama di
antara Nabi-nabi dan ia akan mendapat setinggi-tinggi tempat di dalam Syurga."

Dan telah berkata As Sirri As Saqati: "Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia diberi satu daripada kebun-kebun Syurga kerana ia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah s.a.w."

Dan telah bersabda Rasulullah s.a.w. Artinya: "Barangsiapa cintakan aku niscaya ia akan berada bersamaku di Syurga." Sedia maklum bahwa menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan cara- cara yang telah tersebut dahulu itu nyatalah berarti kita cinta kepadanya.

Dan telah berkata Sultan Wali-wali ('Arifin), Jalaluddin As Suyuti rahimah Ullah: "Barangsiapa orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi s.a.w. niscaya Allah Ta'ala akan menghilangkan den menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala', penderitaan, kebencian, hasad, kejahatan dengki terhadapahli-ahli rumah itu dan apabila ia mati maka Allah Ta'ala akan memudahkan dia
menjawab akan soalan-soalan Munkar dan Nakir dan akan mendapat tempat bersama
orang-orang yang benar disisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar
kerajaanNya. "

Dan ia berkata lagi: "Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat dibaca di
dalamnya akan Maulid Nabi s.a.w. melainkan Malaikat-malaikat melindungkan
ahli-ahli tempat itu dan Allah Ta'ala akan melimpahkan rahmatNya kepada mereka
dan Malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti dan Jibrl dan Mikail,
Israfil, Quryail, Ainail dan lain-lainnya mendoakan kebaikan sesiapa yang
menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis bacaan Nabi s.a.w."


MURAH REZEKI
Barangsiapa membaca Maulid Rasulullah s.a.w. pada wang perak di dan kemudian ia
mencampurkan wang itu dengan wang-wangnya yang lain, niscaya tuan punya wang itu
akan mendapat berkat dan tidak akan menjadi papa dan tangannya tidak akan kosong
dengan berkat Maulid Rasulullah s.a.w.

Dan telah berkata Imam Al Yafi'i, "Barangsiapa mengumpulkan orang- orang Islam
untuk sesuatu majlis membaca Maulid Nabi s.a.w. dan menyediakan makanan dan
mengadakan tempat baginya dan mengerjakan lain-lain kebajikan maka Allah Ta'ala
akan membangkitkan dia pada hari Kiamat bersama-sama dengan Wali-wali dan
orang-orang yang saleh dan orang-orang yang mati syahid dan ia akan berada di
dalam Surga Na'im."

LAGI KELEBIHAN MAULID
Telah dihikayatkan bahwa pada zaman Amirul mu'minin Harun Ar Rasyid bahwa ada
seorang muda di dalam bandar Basrah yang terlalu pemboros dan buruk perangai dan
ahli-ahli negeri itu telah memandang kepadanya dengan pandangan yang hina dengan
sebab perbuatan dan perangainya yang buruk itu. Tetapi pemuda ini, apabila
sampai bulan Rabiul Awwal maka ia telah membasuh pakaian-pakaiannya dan
berwangi-wangi serta berhias dan mengadakan jamuan dan pula ia telah meminta
dibacakan kisah Maulid Nabi s.a.w. di dalam jamuan itu, maka ia tetaplah
mengerjakan seperti itu tiap-tiap tahun selama beberapa tahun.

Kemudian apabila ia mati maka penduduk-penduduk negeri itu telah mendengar suatu
teriakan berkata: "Datanglah wahai ahli Basrah dan saksikanlah jenazah seorang
Wali Allah Ta'ala karena dia itu mulia di sisi Allah."

Maka orang-orang Basrah pun datanglah kepada jenazahnya dan mengebumikannya,
kemudian mereka telah melihatnya didalam mimpi bahwa ia sedang bersiar-siar
dengan pakaian dan perhiasan ahli Surga, lalu ia telah ditanya, "Sebab apa engkau telah menerima kelebihan besar ini?" Jawab pemuda itu: "Sebab aku membesarkan Maulid Nabi s.a.w."

SATU LAGI HIKAYAT.
Telah dihikayatkan juga bahwa pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Maruan bahwa
ada seorang muda yang elok parasnya di dalam negeri Syam dan ia suka bermain
dengan menunggang kuda. Maka pada satu hari ia telah menunggang kudanya dengan
laju melalui hadapan pintu Gedung Khalifah itu tiba-tiba terlanggarlah dengan
salah seorang anak baginda yang kebetulan ada di situ, lalu anak baginda itu pun
mati.

Maka berita itu telah sampailah dengan segera kepada Khalifah dan Khalifah pun
memerintahkan supaya pemuda itu dibawa menghadapnya. Apabila pemuda itu telah
hampir kepada Khalifah maka teringatlah pada hatinya hendak bernazar bahwa
sekiranya Allah Ta'ala melepaskan dia daripada angkara itu maka ia akan
mengadakan jamuan yang besar dan ia akan meminta dibacakan Maulid Nabi s.a.w. di
dalam majlis jamuan itu.

Apabila pemuda itu sampai di hadapan Khalifah dan Khalifah memandang kepadanya,
tiba-tiba baginda telah tertawa, padahal baru sebentar tadi baginda telah berasa
terlalu murka, lalu baginda bertanya kepada pemuda itu: "Adakah engkau pandai
ilmu sihir?" Jawab pemuda itu, "Demi Allah tidak sekali-kali hai Amirul
mu'minin." Berkata baginda: "Baiklah aku ampunkan engkau, tetapi katakanlah
kepada aku apakah rahasia engkau?" Jawab pemuda itu: "Aku telah berkata di dalam
hatiku, sekiranya Allah melepaskan aku daripada angkara yang sangat berat ini,
aku akan mengadakan satu jamuan bagi Maulid Nabi s.a.w."

Baginda berkata: "Tadi aku sudah ampunkan engkau dan sekarang ambillah pula
seribu dinar untuk perbelanjaan Maulid Nabi s.a.w. itu dan engkau sekarang
terlepaslah daripada sebarang balasan bagi membunuh anakku itu."

Maka pemuda itu pun keluarlah dan telah selamat daripada balasan bunuh dan telah
menerima pula seribu dinar ialah dengan berkat Maulid Nabi s.a.w.

(Sumber: Kitab Hembusan Kasturi oleh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi)

1 comment:

  1. Ar Rayah World News

    Mungkinkah Mesir Pembentukan Pertama, Kekhalifahan Kedua

    http://ibnuyassir.blogspot.com/2011/02/mungkinkah-mesir-pembentukan-pertama.html

    ReplyDelete